AGENDA

Hapus tempat pembiakan nyamuk Aedes paling berkesan perangi denggi

16 Feb 2023, 2:15 PM
Hapus tempat pembiakan nyamuk Aedes paling berkesan perangi denggi

SHAH ALAM, 16 FEB: Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes adalah cara paling berkesan untuk mengawal wabak denggi, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata masyarakat dinasihatkan untuk melaksanakan amalan 10 minit dalam seminggu bagi mencari dan menghapuskan tempat pembiakan di sekitar rumah mereka.

Menurut beliau, kawasan paling mudah menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes adalah lorong di belakang kediaman yang mempunyai banyak tempat menakung air, kereta terbiar, rumah kosong terutama pangsapuri tiada penghuni dan kebun tanpa izin.

"Pastikan tiada tempat yang boleh menakung air secara terbuka seperti pasu bunga dan alasnya, bekas simpanan air, bekas penapis air dan tayar terbiar.

"Nyamuk yang sudah dijangkiti virus denggi akan menghasilkan telur yang turut ada virus sama. Jadi kitaran itu amat susah untuk kita pecahkan dan cara terbaik adalah kena hapuskan tempat pembiakan nyamuk.

"Cara yang lain hanya bersifat sementara termasuk semburan termal (fogging) yang hanya membunuh nyamuk dewasa," katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan Operasi Bersepadu Denggi Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Dr Siti Mariah berkata selain itu masyarakat juga boleh menghalang gigitan nyamuk dengan menggunakan semburan nyamuk di dalam rumah, mengamalkan penggunaan penghalau nyamuk serta pemasangan jaring di tingkap rumah.

“Adalah sangat penting langkah pencegahan ini bagi memastikan pengawalan kes demam denggi di Selangor dapat diturunkan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619