AGENDA

Selangor teruskan saringan percuma, perluas tiga skop perkhidmatan

15 Feb 2023, 9:24 AM
Selangor teruskan saringan percuma, perluas tiga skop perkhidmatan

SHAH ALAM, 15 FEB: Kerajaan Selangor meneruskan saringan kesihatan percuma, iaitu program Selangor Saring 2023 dengan menambah tiga lagi skop perkhidmatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata tiga skop tersebut ialah saringan telinga, pemeriksaan gigi dan perkhidmatan fisioterapi, dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM2.6 juta, melibatkan sasaran 31,000 penerima manfaat di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

“Berikut merupakan kategori saringan dan perkhidmatan Selangor Saring 2023 yang meliputi penyakit tidak berjangkit iaitu penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang; kedua, penyakit kanser iaitu kanser kolorektal, prostat, serviks dan payudara.

“Turut disaring ialah penyakit berkaitan mata iaitu rabun, glaukoma dan retina dan tiga skop perkhidmatan baharu itu,” katanya dalam kenyataan.

Dr Siti Mariah berkata menerusi Selangor Saring yang dilaksanakan bermula tahun lalu, pihaknya telah menerima lebih 20,000 pendaftaran dan berjaya mengenal pasti 49 peratus kes yang memerlukan tindakan susulan, konsultasi dan rawatan lanjut.

“Susulan itu, kerajaan negeri menyeru agar penduduk Selangor yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti sejarah keluarga, berat badan berlebihan, gaya hidup tidak sihat, serta mereka yang masih belum dikenal pasti oleh doktor mempunyai penyakit dinyatakan, untuk mendaftar ke program Selangor Saring.

“Pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi SELangkah bermula 2 petang hari ini, dengan setiap pemohon perlu melengkapkan borang saringan awal ketika proses pendaftaran, bertujuan untuk mengenal pasti latar belakang serta faktor risiko pemohon,” katanya.

Dr Siti Mariah berkata individu yang layak akan menerima baucar untuk menjalani saringan kesihatan tanpa sebarang bayaran di lokasi dan tarikh yang ditetapkan.

Beliau berkata maklumat lanjut berkenaan program itu Program Selangor Saring boleh didapati melalui laman sesawang selangorsaring.selangkah.my dan sebarang isu boleh diajukan ke talian ‘hotline’ Selcare iaitu 1-800-22-6600.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619