AGENDA

Pengarah syarikat didakwa buat tuntutan palsu pemasangan kipas ekzos surau

13 Feb 2023, 9:24 AM
Pengarah syarikat didakwa buat tuntutan palsu pemasangan kipas ekzos surau

SHAH ALAM, 13 FEB: Seorang pengarah syarikat penyelenggaraan pendingin hawa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM4,150 berhubung kerja-kerja pembekalan dan pemasangan kipas ekzos di surau perempuan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, lima tahun lepas.

Kamal Karim, 47, didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bursar UPM pada 21 Okt 2018 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan minimum denda lima kali ganda nilai palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu invois bagi semua kerja-kerja terbabit tanpa pesanan belian berjumlah RM4,150 kepada pegawai kewangan UPM.

Bagi pertuduhan pilihan, Kamal didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozilah Salleh, yang menetapkan 14 Mac depan untuk sebutan semula kes, membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu Kamal perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irna Julieza Maaras manakala tertuduh diwakili peguam Shalehhuddin Salam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619