ADN

DUN Pelabuhan Klang capai kuota program bantuan, 330 keluarga terima manfaat

12 Feb 2023, 12:27 PM
DUN Pelabuhan Klang capai kuota program bantuan, 330 keluarga terima manfaat

KLANG, 12 FEB: Seramai 330 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menerima manfaat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) sejak ia dilancar pada Jun tahun lalu.

Wakil rakyatnya Azmizam Zaman Huri berkata penerima bantuan itu kini mencapai kuota ditetapkan dan masing-masing menerima bantuan RM300 sebulan.

"Biarpun sudah penuh tetapi sebenarnya ia masih tidak cukup kerana setiap hari pejabat saya didatangi keluarga berpendapatan rendah yang ingin memohon bantuan ini.

"Saya cadangkan dan alu-alukan sekiranya Kerajaan Negeri dapat menambah kuota penerima di DUN tertentu contohnya di Pelabuhan Klang yang penduduknya ramai pekerja kilang perindustrian, buruh berpendapatan RM1,500 ke RM2,000," katanya.

Beliau ditemui ketika Jualan Ehsan Rakyat peringkat DUN Pelabuhan Klang di Lebuh Samudera 1, Laguna Park, Pulau Indah di sini, hari ini.

Sementara itu, Azmizam memaklumkan pihaknya mengambil inisiatif mengagihkan bakul makanan kepada golongan berpendapatan rendah yang datang ke pejabatnya memohon Bingkas.

"Agihan bakul makanan ini dilakukan dari semasa ke semasa dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak seperti badan berkanun, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan Lembaga Zakat Selangor," katanya.

Inisiatif Bingkas menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) merupakan skim terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Menerusi Bingkas, setiap keluarga yang layak akan menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun dan bayaran diagihkan menerusi aplikasi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619