AGENDA

Kesan ada ketirisan, Kerajaan bentang Kertas Putih perolehan vaksin di parlimen

8 Feb 2023, 7:28 AM
Kesan ada ketirisan, Kerajaan bentang Kertas Putih perolehan vaksin di parlimen

PUTRAJAYA, 8 FEB: Kertas Putih berkaitan perolehan dan kos pembelian vaksin Covid-19 yang didapati tidak mengikut prosedur sebelum ini akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perolehan bekalan vaksin berkenaan telah dilakukan oleh menteri kesihatan ketika itu tanpa melalui persetujuan Peguam Negara (AG).

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini, Anwar berkata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa akan memperincikan perkara tersebut apabila Kertas Putih berkenaan dibentangkan nanti.

“Kertas Putih ini akan dibentangkan kerana pada peringkat awal dikesan terdapat ketirisan kerana dipercayai tidak melalui peraturan atau proses yang sepatutnya. Perolehan bagi sesetengah vaksin ini amat diragui dari segi jumlah dan kos yang terlibat,” katanya.

Tanpa mendedahkan menteri terlibat yang perlu memberi penjelasan, Anwar bagaimanapun berkata: "Soal utama juga bukan siapa menteri, tetapi menteri-menteri terlibat perlu jawab dan memberi penjelasan berhubung perkara itu."

Kementerian Kewangan sebelum ini menurunkan kuasa kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk memudah cara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619