AGENDA

Malaysia tuan rumah sidang kemuncak ASEAN-GCC tahun ini

4 Feb 2023, 12:39 PM
Malaysia tuan rumah sidang kemuncak ASEAN-GCC tahun ini

JAKARTA, 4 FEB: Malaysia akan menganjurkan sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada September atau Oktober tahun ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“GCC mengemukakan cadangan kepada ASEAN agar Malaysia menjadi tuan rumah, tarikhnya masih lagi dalam perbincangan,” katanya kepada media Malaysia selepas mesyuarat Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia yang telah dipertanggungjawabkan ASEAN sebagai Sekretariat ASEAN-GCC dan ASEAN-Kanada, akan mewujudkan kerjasama antara rantau ini dengan kedua-dua pihak melalui dialog.

ASEAN dan GCC menjalin hubungan rasmi sejak 1990 manakala hubungan dialog ASEAN-Kanada telah diwujudkan pada Februari 1977.

Zambry yang mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-32 dan AMM Retreat di Sekretariat ASEAN, turut mengadakan mesyuarat sampingan dengan rakan sejawat dari Vietnam, Bui Thanh Son dan Timor Leste, Adaljiza Magno untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

“Malaysia menyokong kemasukan negara Timor Leste sebagai negara ASEAN yang ke-11,” katanya.

Menteri-menteri Luar ASEAN semalam mengalu-alukan penyertaan Timor Leste sebagai pemerhati untuk kali pertama pada mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.

"Malaysia antara negara yang sangat konsisten sejak kami mengemukakan permohonan untuk menjadi anggota penuh ASEAN," kata Magno kepada pemberita selepas pertemuan dengan Zambry.

Beliau berkata penyertaan Timor Leste dalam ACC dan AMM Retreat sebagai pemerhati sebagai batu loncatan untuk menjadi ahli penuh.

Negara ini sedang berusaha memenuhi keperluan berdasarkan garis panduan yang diluluskan oleh negara anggota ASEAN dan juga menyediakan pelan hala tuju untuk menjadi ahli penuh pada masa hadapan.

“Timor Leste mempunyai kerjasama dua hala yang sangat kukuh dengan Malaysia,” kata Magno, sambil menambah bahawa Malaysia membantu membina semula negara ini sejak merdeka terutamanya dalam pembinaan kapasiti dan melatih diplomat. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619