AGENDA

Pulau Pinang dilanda banjir, jumlah mangsa di Johor, Sabah menurun

4 Feb 2023, 2:58 AM
Pulau Pinang dilanda banjir, jumlah mangsa di Johor, Sabah menurun

KUALA LUMPUR, 4 Feb: Pulau Pinang menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan dua pusat penempatan sementara (PPS) dibuka melibatkan daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS) susulan hujan lebat lebih dua jam di beberapa kawasan bermula kira-kira 3.30 petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri Phee Boon Poh berkata setakat pukul 2 pagi tadi, sebuah PPS dibuka di Dewan Komuniti Kubang Menerong, SPU yang menempatkan 38 orang daripada sembilan keluarga manakala di daerah SPS, 21 orang daripada lapan keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah.

“Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak 3.30 petang hingga 6.30 petang semalam menyebabkan puluhan rumah terutama di daerah SPU dan SPS dilanda banjir. Keadaan ini diburukkan lagi dengan air laut pasang besar.

“Kebanyakan rumah dinaiki air hingga paras 0.6 meter, namun beberapa kawasan kembali surut malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Kedah dan Sarawak menunjukkan peningkatan manakala bilangan mangsa di Johor dan Sabah mencatatkan penurunan pagi ini berbanding malam tadi.

Di KEDAH, pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu Abdul Rahim Khairuddin berkata jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ekoran banjir kilat di Relau, Bandar Baharu meningkat kepada 35 mangsa daripada 11 keluarga pagi ini berbanding 14 mangsa daripada tujuh keluarga, semalam dengan kesemua mereka ditempatkan di satu PPS iaitu SK Relau yang dibuka sejak 7 malam semalam.

"Hujan lebat selama dua jam petang semalam menyebabkan tiga kampung terjejas iaitu Kampung Kilang Batu, Kampung 300 Kaki dan Kampung Tengah. Keadaan cuaca hari ini adalah baik dan banjir mulai surut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di SARAWAK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir di kawasan Serian meningkat kepada 193 orang pagi ini berbanding 180 orang malam tadi yang ditempatkan di PPS SK St Peter dan Dewan Kampung Mundai.

Di JOHOR, JPBN memaklumkan jumlah mangsa di PPS terus menurun kepada 821 orang setakat 8 pagi ini berbanding 846 orang pada 8 malam tadi yang ditempatkan di enam PPS iaitu satu di Segamat dan lima di Batu Pahat.

Jumlah mangsa di daerah Batu Pahat yang mengalami 'banjir termenung' adalah seramai 795 orang daripada 225 keluarga, manakala di Segamat 26 orang daripada sembilan keluarga.

Di SABAH, Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di tujuh PPS berkurangan kepada 298 orang daripada 85 keluarga pagi ini, berbanding 452 orang daripada 137 keluarga malam tadi.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619