AGENDA

Edar dadah dalam kompleks penjara, warden ke tali gantung

31 Jan 2023, 12:22 PM
Edar dadah dalam kompleks penjara, warden ke tali gantung

SHAH ALAM, 31 JAN: Seorang warden penjara dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis dan methamphetamine dengan berat keseluruhan 410.07 gram (g) di kompleks penjara, empat tahun lepas.

Hakim Nurulhuda Nur'aini Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Elmy Arif Hamid, 40, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mohd Elmy Arif didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Penjara Sungai Buloh, Sungai Buloh pada 11 pagi, 18 Jun 2019 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Tertuduh turut didapati bersalah bagi empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah iaitu heroin (4.25g), monoacetylmorphines (1g), etilzolam (38.67g) dan clozapine (50.80g) di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi empat kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan memiliki heroin, masing-masing penjara satu tahun (monoacetylmorphines dan etilzolam) serta penjara enam bulan (clozapine).

Nurulhuda Nur'aini turut memerintahkan hukuman pemenjaraan tersebut berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 18 Jun 2019.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh, telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 24 Ogos 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim manakala Mohd Elmy Arif diwakili peguam Zameri Mat Nawang.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619