AGENDA

Anwar tiba di Singapura untuk lawatan rasmi

30 Jan 2023, 2:38 AM
Anwar tiba di Singapura untuk lawatan rasmi

SINGAPURA, 30 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi ke Singapura.

Anwar diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk lawatan rasmi ketiganya ke luar negara sejak dilantik sebagai perdana menteri.

Pesawat khas yang membawa perdana menteri dan isteri mendarat di Kompleks VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada 9.40 pagi.

Ketibaan beliau disambut Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Jadual padat menanti perdana menteri dalam rangka lawatan sehari itu bermula dengan sambutan rasmi yang diadakan di istana.

Beliau akan membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong yang juga akan menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi.

Selepas itu kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian sebelum Anwar meninggalkan istana untuk bertemu dengan diaspora Malaysia yang berada di republik itu.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke Singapura selepas menyandang jawatan perdana menteri.

Delegasi Malaysia juga terdiri daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyertai delegasi itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619