AGENDA

Waktu puncak LRT laluan Ampang-Sri Petaling, Monorel dilanjut mulai esok

29 Jan 2023, 1:36 PM
Waktu puncak LRT laluan Ampang-Sri Petaling, Monorel dilanjut mulai esok

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Perkhidmatan waktu puncak bagi Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang-Sri Petaling dan Laluan Monorel Kuala Lumpur akan dilanjutkan bermula esok.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini memaklumkan waktu puncak itu dipanjangkan dari 6.30 pagi hingga 10.30 pagi berbanding jadual asal 7 pagi hingga 9.30 pagi dan dari 4.30 petang hingga 8.30 malam berbanding 5 petang hingga 7.30 malam.

Menurut kenyataan itu pemanjangan operasi tersebut susulan gangguan perkhidmatan di antara dua stesen LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek akibat penjajaran landasan yang bengkok.

“Langkah ini akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna, selain mereka dapat merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen rel khususnya di stesen pertukaran LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Hang Tuah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bilangan bas perantara percuma juga akan ditambah bermula esok bagi tiga laluan dengan kekerapan 10 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas.

Tiga laluan itu ialah laluan LRT 9 melibatkan LRT Hang Tuah - LRT Bandaraya - LRT Hang Tuah (15 bas); laluan LRT 10 membabitkan LRT Masjid Jamek - LRT Bandaraya - LRT Masjid Jamek (9 bas); dan laluan LRT 11 iaitu LRT Sentul Timur - LRT Bandaraya - LRT Sentul Timur (10 bas).

“Prasarana memohon maaf atas kesulitan dialami penumpang dan amat menghargai sokongan serta kesabaran mereka. Inisiatif ini adalah komitmen kami dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kepada pengguna sentiasa dalam tahap terbaik,” menurut kenyataan itu. - BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619