AGENDA

Kongsi maklumat operasi di Waze, jejas usaha polis jalankan penguatkuasaan

29 Jan 2023, 12:01 AM
Kongsi maklumat operasi di Waze, jejas usaha polis jalankan penguatkuasaan

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat operasi sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan pasukan itu menerusi aplikasi Waze.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata tindakan itu, hanya akan menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan pelbagai kesalahan trafik lain.

Azmi berkata pengguna jalan raya harus sedar bahaya yang akan dihadapi disebabkan kecuaian daripada pemandu mabuk, melanggar lampu isyarat, memandu melawan arus dan sebagainya.

“Bagi individu yang tidak pernah terkesan dengan musibah diakibatkan oleh kecuaian dan kelalaian pesalah-pesalah trafik, tidak akan dapat merasakan keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung keluarga mangsa.

“Oleh itu, besarlah harapan saya agar orang ramai terutamanya pengguna jalan raya, memberi kerjasama kepada pihak polis daripada cuba membantu mereka yang melakukan kesalahan jalan raya ini,” katanya ketika berucap pada program ‘High Profile Policing’ di Wonderland Park, Taman Sri Murni, di sini malam tadi.

Terdahulu, Azmi bersama Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai dan Pengerusi Eksekutif JL 99 Group Datuk Seri Jeff Lee, menghadiri program ‘High Profile Policing’ bagi menasihatkan masyarakat supaya peka terhadap jenayah yang berlaku, selain meningkatkan tahap kesedaran serta keselamatan komuniti setempat.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619