AGENDA

Lima lagi mangsa sindiket penipuan kerja di Kemboja selamat pulang

28 Jan 2023, 12:02 AM
Lima lagi mangsa sindiket penipuan kerja di Kemboja selamat pulang

PUTRAJAYA, 28 JAN: Lima lagi warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam (27 Januari).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) malam tadi, mangsa yang berusia di antara 17 hingga 42 tahun itu turut diiringi oleh seorang pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri dan delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengadakan lawatan kerja ke Kemboja mulai hari Selasa (24 Januari).

Dengan kepulangan lima orang itu, sehingga kini Wisma Putra telah membawa pulang seramai 346 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Kementerian Luar Negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Kemboja atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam usaha mengesan serta menyelamat warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di samping kesediaan menerima lawatan kerja empat hari itu.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai digesa supaya lebih berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan yang diterima daripada sumber-sumber meragukan, termasuk melalui media sosial, aplikasi mudah alih atau secara dalam talian.

Kementerian Luar Negeri amat memandang serius akan permasalahan ini dan menggesa orang ramai untuk membuat laporan kepada pihak PDRM dan Kementerian Luar Negeri sekiranya terdapat ahli keluarga mereka yang disyaki menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619