AGENDA

Dua beranak rakyat Malaysia maut akibat bot terbalik di Krabi

27 Jan 2023, 12:00 AM
Dua beranak rakyat Malaysia maut akibat bot terbalik di Krabi

BANGKOK, 27 JAN: Seorang ibu hamil dan anak perempuannya berusia enam tahun dari Malaysia yang melancong ke Thailand, maut selepas bot yang dinaiki terbalik berhampiran pantai wilayah Krabi, selatan negara itu pada Rabu.

Dalam kejadian pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) itu, tiga sekeluarga - wanita berusia 36 tahun bersama suaminya berusia 38 tahun dan anak perempuan mereka dalam perjalanan menuju Pulau Poda.

Gabenor wilayah Krabi Passakorn Bunyalak berkata bot yang dinaiki mereka dipercayai dipukul ombak besar menyebabkan ia terbalik.

“Keluarga itu dan pengendali bot hanyut di laut sebelum diselamatkan oleh nelayan tempatan.

“Kesemua mereka dibawa ke darat di Jeti Klong Sai dan dikejarkan ke Hospital Krabi.

“Wanita itu dan anak perempuannya tidak sedarkan diri ketika nelayan menemukan mereka. Mereka kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata suaminya dan pengendali bot warga Thailand berusia 45 tahun terselamat dan dilaporkan dalam keadaan baik, kini berada di bawah pengawasan rapi pihak hospital.

Ketika dihubungi Bernama, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid berkata pejabat konsulat sedang berusaha memberikan bantuan yang sewajarnya untuk menghantar pulang jasad mangsa ke Malaysia.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619