AGENDA

Had laju jalan persekutuan dikurang 10km/j sempena Tahun Baharu Cina

17 Jan 2023, 5:40 AM
Had laju jalan persekutuan dikurang 10km/j sempena Tahun Baharu Cina

DENGKIL, 17 JAN: Had laju di jalan persekutuan di seluruh negara dikurangkan 10 kilometer sejam (km/j) bersempena perayaan Tahun Baharu Cina, bermula esok hingga 27 Jan ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sepanjang tempoh itu, had laju di jalan persekutuan diturunkan kepada 80km/j berbanding 90km/j.

“Ini merupakan antara langkah keselamatan dan pemantauan diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang sering berlaku pada musim perayaan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2023 hari ini.

Operasi tahunan bertemakan 'Pandu Cermat, Sampai Selamat' itu merupakan jalinan kolaborasi strategik kali pertama antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MoT).

Nanta berkata pihaknya telah mengenal pasti 76 lokasi kerap berlaku kemalangan di jalan persekutuan dan akan terus memantau lokasi berkenaan.

Bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna di jalan persekutuan, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan kerja pembaikan di 53 lokasi kerap berlaku kemalangan (blackspots) melibatkan kos sebanyak RM17.2 juta dan memasang lampu jalan di 40 lokasi dengan kos sebanyak RM4.7 juta pada tahun lepas melalui program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619