AGENDA

Guru besar beri alasan sudah biasa keluar wang tanpa polis pengiring

17 Jan 2023, 5:09 AM
Guru besar beri alasan sudah biasa keluar wang tanpa polis pengiring

KAJANG, 17 JAN: Guru besar sebuah sekolah rendah di Beranang dekat sini, yang kehilangan wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya, memberi alasan sudah biasa mengambil wang bantuan itu tanpa polis pengiring.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya tidak pernah menerima permohonan polis pengiring daripada guru besar berusia 50 tahun itu untuk tujuan transaksi berkenaan.

“Berdasarkan keterangan guru besar itu, mangsa yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak buat sebarang permohonan polis pengiring.

“Sepanjang tempoh 10 tahun itu, mangsa tidak pernah mengalami situasi sedemikian dan bagi saya amat ralat kerana pihak sekolah boleh meminta bantuan polis untuk mengiringi mereka selepas membuat transaksi pengeluaran wang di bank,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 19/13 sempena Tahun Baharu Cina 2023 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), di sini, hari ini.

Mohd Zaid berkata polis sudah selesai merakam keterangan beberapa individu termasuk guru besar terbabit bagi membantu siasatan.

“Kami akan melakukan siasatan secara menyeluruh daripada pelbagai sudut termasuk bagi mengenal pasti jika ada unsur kecuaian atau penglibatan ‘orang dalam',” katanya.

Selain itu, beliau berkata polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian bagi mengenal pasti individu yang keluar dan masuk dari bank berkenaan.

Semalam, seorang guru besar kehilangan wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya di Semenyih dekat sini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619