AGENDA

Pengasuh taska mengaku tidak bersalah dera bayi empat bulan hingga koma

15 Jan 2023, 6:26 AM
Pengasuh taska mengaku tidak bersalah dera bayi empat bulan hingga koma

KUALA TERENGGANU, 15 JAN: Seorang pengasuh taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mendera seorang bayi sehingga koma.

Tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 27, didakwa menganiaya bayi tersebut sehingga menyebabkan pendarahan dalam kepala dan retak pada tempurung kepala sebelah kiri di sebuah taska, di sini, antara 1 hingga 3 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Nooriah Osman membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 16 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Media baru-baru ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk di sini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata mangsa koma selepas mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan otak dan retak pada tempurung kepala.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619