AGENDA

Selangor beri ganjaran RM228,500 kepada atlet Para SUKMA raih pingat

13 Jan 2023, 12:30 PM
Selangor beri ganjaran RM228,500 kepada atlet Para SUKMA raih pingat
Selangor beri ganjaran RM228,500 kepada atlet Para SUKMA raih pingat

PUTRAJAYA, 13 JAN: Kerajaan Negeri memberi ganjaran sebanyak RM228,500 kepada kontinjen Selangor yang meraih pingat pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) di Kuala Lumpur November lepas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada 50 atlet yang beraksi cemerlang sekali gus mengharumkan nama Selangor.

“Saya gembira dan terharu pencapaian atlet Para SUKMA 2022. Walaupun berdepan pandemik covid-19, anda semua masih boleh beraksi dengan baik apabila memperoleh 78 pingat untuk berada pada kedudukan keempat keseluruhan.

“Anda semua membuktikan mampu mengharumkan nama Selangor seperti orang normal meskipun mempunyai sedikit perbezaan daripada segi keupayaan,” katanya berucap pada majlis penyerahan insentif di Hotel Palm Garden di sini hari ini.

Hadir sama EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor Azura Sarbin serta Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

[caption id="attachment_560646" align="alignnone" width="814"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama atlet yang berjaya membawa pulang pingat pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2022 selepas majlis penyerahan insentif di Hotel Palm Garden, Putrajaya pada 13 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Dalam majlis itu, pemenang pingat emas meraih RM3,000, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000)

Tambah Amirudin, jurulatih dan pengurus turut diberi insentif berdasarkan pingat diperoleh setiap acara dengan emas RM500, perak (RM300) serta gangsa (RM150).

“Saya ingin melahirkan rasa penghargaan khas kepada semua pihak terutama JBS Selangor, Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (Pesron) Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan MSN Selangor kerana sentiasa memberi sokongan padu kepada atlet Para negeri.

“Terima kasih juga kepada pengurus, jurulatih, Pesron Selangor yang sentiasa komited membimbing atlet untuk lebih berdaya saing dalam setiap acara,” katanya lagi.

Edisi ke-20 temasya yang berlangsung dari 1 hingga 6 November menyaksikan 10 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 294 acara dengan penyertaan 15 kontinjen negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619