AGENDA

Liu Ying gantung raket, ucap selamat tinggal kepada peminat

11 Jan 2023, 12:05 PM
Liu Ying gantung raket, ucap selamat tinggal kepada peminat

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Pemain beregu campuran profesional negara Goh Liu Ying, menamatkan kariernya selaku pemain selepas berkecimpung dalam badminton seawal usia 13 tahun.

Aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena pada hari ini, merupakan perlawanan kompetitif terakhir bagi pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu.

Liu Ying, 34, yang kembali bergandingan bersama Chan Peng Soon buat kali terakhir pada kejohanan ini, terpaksa akur apabila tewas 21-18, 15-21, 7-21 kepada gandingan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati, selepas pertarungan selama 58 minit.

Bercakap kepada pemberita selepas aksi itu, Liu Ying berkata beliau sebenarnya mengharapkan untuk melakar sekurang-kurangnya satu kemenangan di hadapan peminat badminton tanah air, namun tetap gembira apabila sorakan tanpa henti didengarinya sepanjang perlawanan itu.

“Sebelum bermula perlawanan, saya fikir kalau boleh ingin mencatat satu kemenangan dan ia satu bonus jika dapat melakukannya bersama Peng Soon.

“Meskipun tewas, saya anggap ini memori yang saya tidak akan lupakan kerana dapat mengambil bahagian di Terbuka Malaysia bersama Peng Soon. Saya harap selepas ini penyokong rindu kelibat saya dan Peng Soon,” katanya.

Beliau yang kelihatan sebak selepas tamat perlawanan, turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong kerjayanya, sepanjang berkecimpung dalam arena badminton.

Kejohanan Terbuka Malaysia 2023 merupakan pengakhiran yang bermakna, apabila kejohanan yang sama menyaksikan beliau memulakan gandingannya bersama Peng Soon, 13 tahun lalu.

Peng Soon akan terus beraksi sebagai pemain profesional bersama Cheah Yee See.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang baru digandingkan Disember lepas, melakar kejutan dengan menewaskan pilihan keenam kejohanan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, yang juga rakan senegara, 21-15, 21-10.

Gandingan yang berada pada ranking ke-147 dunia itu, akan melakukan perhitungan menentang pasangan Indonesia Rehan Naufal-Lisa Ayu (ke-12 dunia).

“Gelanggang ini agak besar, jika dipukul kuat, mudah untuk keluar, jadi strategi kami ialah kawal bulu tangkis, saya cuba yang terbaik dan sebenarnya jurulatih kami (Nova Widianto) berikan kami banyak strategi jadi kami amat hargainya,” kata Ee Wei.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619