AGENDA

Separuh akhir Piala AFF: Hanya 59,000 tiket dijual, harga kekal RM30

4 Jan 2023, 7:53 AM
Separuh akhir Piala AFF: Hanya 59,000 tiket dijual, harga kekal RM30

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Hanya 59,000 tiket dijual bagi aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara skuad Harimau Malaya dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini (7 Jan).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman berkata perkara itu berikutan 21,000 tempat duduk terpaksa 'dikosongkan' kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

FAM turut mengumumkan bahawa harga tiket perlawanan itu kekal seperti aksi peringkat kumpulan - RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.

“Situasi ini tidak dapat dielakkan. FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik memastikan aksi skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF ini dilangsungkan di Stadium Nasional, berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil.

“Harga tiket RM30 bagi tempat duduk terbuka ini sama seperti harga tiket perlawanan separuh akhir, Malaysia lawan Thailand pada edisi 2018 dan adalah lebih rendah daripada harga tiket RM40 ketika perlawanan separuh akhir Malaysia lawan Vietnam pada 2014,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Konsert Jay Chou, artis terkemuka dari Taiwan, akan berlangsung pada 15 Jan di Stadium Nasional.

Noor Azman berkata tiket bagi perlawanan itu hanya akan dijual secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my bermula 3 petang Rabu, dengan tiada penjualan di kaunter.

Selepas separuh akhir pertama di Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Thailand untuk aksi timbal balik menentang skuad Gajah Perang di Stadium Thammasat, Pathum Thani yang terletak di utara Bangkok, pada Selasa (10 Jan).

Sementara itu, FAM turut menasihatkan penyokong supaya berhati-hati dengan pembelian tiket selain daripada secara dalam talian di www.tickethotline.com.my, berikutan terdapat penjualan tiket palsu bagi perlawanan menentang Singapura, malam tadi.

“FAM berharap perkara sedemikian tidak akan berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama ini dan tindakan keras akan diambil terhadap pelaku,” tegasnya.

Malaysia mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B dengan sembilan mata, selepas menewaskan Singapura 4-1 semalam. Vietnam muncul juara kumpulan dengan 10 mata, manakala Singapura tersingkir apabila menduduki tempat ketiga dengan tujuh mata.

Sekiranya berjaya menundukkan pasukan paling cemerlang, Thailand yang mempunyai enam gelaran, skuad Harimau Malaya akan bertemu pemenang antara Vietnam dengan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Jan ini.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619