AGENDA

Siasatan tragedi tanah runtuh Batang Kali hampir siap, rakam keterangan 77 saksi

27 Dis 2022, 5:34 AM
Siasatan tragedi tanah runtuh Batang Kali hampir siap, rakam keterangan 77 saksi

BANGI, 27 DIS: Siasatan polis berhubung tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember yang mengorbankan 31 nyawa kini telah hampir 90 peratus lengkap, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata kini hanya tinggal siasatan di lokasi kejadian, rakaman percakapan anggota pasukan penyelamat dan laporan patologi daripada pihak hospital untuk mengetahui punca kematian mangsa yang terlibat.

"Sehingga kini polis telah merakam keterangan 77 orang saksi melibatkan mangsa cedera dan keluarga mangsa, operator dan pekerja tapak perkhemahan serta anggota pasukan penyelamat.

"Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan serta Akta Kerajaan Tempatan 1974," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Seramai 66 pelatih yang merupakan penuntut UKM menerima sijil selepas berjaya menamatkan latihan masing-masing pada majlis berkenaan.

Sementara itu Arjunaidi berkata pihaknya telah mengesan 20 kenderaan yang tertimbus dalam kejadian berkenaan dan sedang mengenal pasti pemiliknya.

"Pihak polis tidak akan mengeluarkan kenderaan itu kerana ia tertimbus terlalu dalam, jadi ia terpulang kepada pemilik kenderaan itu nanti untuk berbincang dengan pihak insurans mereka berkaitan dengan tuntutan," katanya.

Tragedi jam 2.30 pagi 16 Disember itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619