PBT

MPAJ batal lesen premis makanan tular tikus nikmati ayam goreng

26 Dis 2022, 8:00 AM
MPAJ batal lesen premis makanan tular tikus nikmati ayam goreng

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 26 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) berkuat kuasa serta merta terhadap sebuah premis makanan tular di media sosial dengan seekor tikus menikmati ayam goreng.

Yang Dipertuanya Mohd Fauzi Mohd Yatim tindakan tersebut selaras dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang mengeluarkan Notis Perintah Tutup pada Sabtu lalu.

"Tindakan sitaan akan dijalankan sekiranya premis masih beroperasi setelah NPPL dikeluarkan. Berdasarkan rekod pemeriksaan lalu, penarafan kebersihan premis tersebut adalah pada Gred B bagi Jun 2021 dan terbaru adalah pada Januari lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, MPAJ mengambil berat tentang isu yang telah berlaku ini dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana premis makanan yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan.

"Kita sentiasa memantau kawalan kebersihan setiap premis makanan bagi memastikan syarat dan peraturan MPAJ sentiasa dipatuhi. Sehingga 30 November, 1,057 premis makanan diperiksa dan 259 kompaun telah dikeluarkan.

"Orang ramai juga diminta melaporkan aduan melalui http://aduan.mpaj.gov.my berkenaan kebersihan premis," ujarnya.

Jumaat lalu, media tempatan melaporkan tular sebuah video seekor tikus sedang menikmati ayam goreng dalam pemanas makanan di sebuah restoran di Pandan Indah.

Susulan kejadian tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengarahkan premis tersebut ditutup 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Sebanyak enam notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana (pemilik premis) gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat," katanya dalam satu kenyataan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619