AGENDA

Banjir: Daerah Besut lumpuh, terputus hubungan

19 Dis 2022, 3:24 PM
Banjir: Daerah Besut lumpuh, terputus hubungan

MARANG, 19 DIS: Keadaan banjir di Besut kini semakin buruk dengan semua jalan menuju ke daerah itu terpaksa ditutup kerana ditenggelami air.

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman berkata penutupan kepada semua jenis kenderaan itu dilaksanakan sejak semalam.

Selain semua akses ditutup, jumlah mangsa banjir di Besut juga merekodkan antara tertinggi di Terengganu yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu seramai 5,492 orang.

"Kesemua mangsa daripada 1,506 keluarga ini kini berlindung di 83 PPS," katanya ketika ditemui selepas mendengar taklimat berhubung situasi semasa banjir di Terengganu yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Mohd Khairiri Mat Resad @Arshad.

Terdahulu, Ahmad Izram melakukan tinjauan udara melibatkan kawasan Hulu Terengganu yang mana rata-rata kawasan dilihat masih digenangi air dengan beberapa sekolah dan kawasan perumahan ditenggelami air.

Bagaimanapun, usaha untuk melakukan tinjauan udara ke daerah Besut tidak dapat dilakukan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Hasil pemantauan ini akan dilaporkan kepada ibu pejabat di Putrajaya serta Pusat Pengurusan Operasi bagi memudahkan perancangan dan tindakan yang akan diambil seterusnya," katanya.

Beliau berkata keadaan muka bumi Besut yang berbukit menambah kesukaran kepada pasukan keselamatan untuk ke kawasan tertentu, khususnya kampung-kampung di pedalaman.

Ahmad Izram berkata ketika ini pasukannya bergerak dengan kekuatan 367 pegawai dan anggota termasuk 81 orang pelatih daripada Akademi Bomba Wakaf Tapai.

Operasi pemindahan juga dibantu oleh pihak pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pihak  Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menyediakan dua buah lori bagi setiap daerah serta lima buah lori pengangkut yang disediakan oleh Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya, katanya.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619