AGENDA

Empat parah lori ATM bawa 13 parajurit muda langgar tembok pemisah tol

18 Dis 2022, 1:54 AM
Empat parah lori ATM bawa 13 parajurit muda langgar tembok pemisah tol

SEREMBAN, 18 DIS: Empat cedera parah selepas sebuah lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa 13 Parajurit Muda melanggar tembok batu pemisah lorong tol di Kilometer 7.1 Plaza Tol Lebuh Raya Seremban-Port Dickson di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata insiden yang berlaku pada 7.10 malam itu dipercayai berpunca daripada masalah brek.

"Pemandu dan tiga penumpang mengalami kecederaan parah, lapan penumpang cedera ringan manakala dua lagi tidak mengalami kecederaan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lori itu, yang dipandu oleh seorang anggota tentera berusia 25 tahun, sedang bergerak di lorong paling kiri ketika dipercayai mengalami kerosakan brek dan hilang kawalan sebelum merempuh tembok tersebut.

Ketika kejadian, lori itu dalam perjalanan dari Markas 1 Kompeni Angkut Kem Si Rusa di Port Dickson menghala ke Terminal One, Seremban.

“Kesemua parajurit baharu menamatkan latihan asas ketenteraan dan dihantar ke Terminal One, Seremban untuk mereka pulang bercuti," katanya sambil menambah mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619