AGENDA

Kementerian Komunikasi dan Digital perhalusi isu keselamatan siber, lindungi data peribadi

14 Dis 2022, 1:08 AM
Kementerian Komunikasi dan Digital perhalusi isu keselamatan siber, lindungi data peribadi

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang berusaha untuk memperhalusi isu keselamatan siber bagi melindungi data peribadi pengguna dalam negara ini daripada terdedah kepada ancaman dalam talian seperti penipuan atau kecurian maklumat.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menegaskan isu keselamatan siber dan data peribadi perlu diutamakan selain pihaknya sedang meneliti dan merangka jalan penyelesaian segera terhadap isu berkenaan.

“Kita mesti ada satu pemahaman bahawa data adalah satu khazanah negara, kita ada data kita boleh buat pelbagai aktiviti, kita boleh sampaikan sumbangan, bantu anak miskin pastikan yang hendak masuk hospital dapat keutamaan, semua berkisarkan data, selamat data selamatlah masa depan kita,” katanya dalam temu bual Bicara Naratif terbitan Berita RTM di Angkasapuri, semalam.

Beliau turut menyeru agar setiap pemegang data yang besar untuk berhubung dengan pihak CyberSecurity Malaysia (CSM) berkenaan dengan audit keselamatan siber bagi memastikan keselamatan data pengguna dalam negara terjamin.

Fahmi berkata perkara itu penting memandangkan sejak 2017 hingga kini negara telah kehilangan lebih 100 juta set data peribadi yang telah dicuri oleh pelbagai pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menasihatkan agar mangsa penipuan (scam) melaporkan kejadian yang menimpa mereka dan tidak malu berhubung dengan pihak berkuasa.

"Jangan risau, jangan takut, jangan malu, dial 997, ini adalah Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di bawah jagaan Bank Negara Malaysia buatlah panggilan itu boleh dihubungi antara pukul 8 pagi sehingga 8 malam,” katanya.

Ditanya mengenai penubuhan Majlis Media Malaysia, Fahmi berkata beliau telah meminta pihak kementerian untuk membentangkan perkara itu dan beliau akan mendengar sesi pembentangan tersebut dalam tempoh satu atau dua minggu.

“Saya lihat tugas dan fungsi wartawan ini sebagai salah satu tiang seri dalam konsep kerajaan. Media pastikan semua (legislatif, eksekutif dan kehakiman) berjalan dengan baik. Saya dan timbalan saya, Teo Nie Ching konsisten dalam bab ini. Kami akan teliti apa yang patut,” katanya.

Cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia disuarakan peserta Wacana Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada 2018 yang mewakili pelbagai pertubuhan media dari seluruh negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619