ADN

ADN Meru cadang tambah dua lagi PPS, tampung jumlah penduduk tinggi

12 Dis 2022, 8:42 AM
ADN Meru cadang tambah dua lagi PPS, tampung jumlah penduduk tinggi

SHAH ALAM, 12 DIS:  Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru berhasrat menambah dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir kilat di kawasan itu.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhta berkata cadangan itu bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir, selain menampung jumlah penduduk yang semakin meningkat.

“Di Meru sekarang kita ada tiga PPS. Kekangan kita adalah kita mempunyai penduduk yang ramai tetapi PPS sedikit.

"Jadi, kami sedang merisik dua lagi PPS baharu iaitu di sekolah agama di Meru dan sekolah agama di Kapar,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Fakhrulrazi berkata pihaknya kini lebih bersedia menghadapi banjir, terutamanya selepas kejadian banjir besar yang berlaku di Selangor tahun lalu.

Menurutnya, semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah menerima taklimat dan kursus khas banjir sebagai persediaan menghadapi bencana itu.

“Saya harus akui, tahun lalu pengurusan banjir kita tidak terurus dan kelam kabut kerana kebetulan bukan hanya di Meru sahaja yang banjir.

“Jadi, kita belajar dari pengalaman. Kali ini kita lebih bersedia dan saya juga lihat komitmen yang baik daripada agensi berkaitan,” katanya.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di Selangor membabitkan Petaling, Klang dan Sepang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini turut meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November, yang membawa kepada bencana banjir pada akhir tahun.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619