AGENSI

JAS, Kastam tahan tiga kontena bawa e-sisa di Pelabuhan Klang

9 Dis 2022, 8:17 AM
JAS, Kastam tahan tiga kontena bawa e-sisa di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 9 DIS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia menahan tiga kontena yang membawa sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) seberat 100 tan metrik di Pelabuhan Barat, Klang, semalam.

Pengarahnya Nor Aziah Jaafar berkata pemeriksaan pihaknya mendapati ketiga-tiga kontena itu mengandungi bahan buangan iaitu perkakasan komputer terpakai berserta wayar yang diimport daripada Amerika Syarikat dan Sepanyol.

"Pemeriksaan turut mendapati pengimport telah mengikrar bahan dagangan sebagai sekerap aluminium bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1) dan Seksyen 37(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1975 akan dikeluarkan kepada syarikat-syarikat pengimport untuk memulangkan kontena-kontena itu ke negara asal di bawah prosedur Konvensyen Basel," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, antara prinsip utama Konvensyen Basel ialah buangan berbahaya hendaklah dilupuskan di dalam negara di mana buangan tersebut dihasilkan dan pergerakan buangan berbahaya merentasi sempadan hanya dibenarkan jika diuruskan secara mesra alam serta mendapat persetujuan negara pengimport.

Nor Aziah berkata tahun ini JAS Selangor telah mengeluarkan 18 Notis Arahan kepada syarikat-syarikat pengimport, melibatkan 30 kontena mengandungi sisa elektronik, sisa plastik terpakai, buangan bateri terpakai dan komponen enjin, untuk dipulangkan ke negara asal antaranya Amerika Syarikat, Latvia, Korea Selatan dan Mexico.

"Hasil buangan ini dibawa masuk untuk diproses bagi mendapatkan komponen logam-logam berharga oleh operator haram.

"Apa yang membimbangkan adalah operator yang tidak berlesen dengan JAS ini menggunakan kaedah konvensional serta menyebabkan pencemaran bau dan sungai," katanya.

Beliau berkata JAS Selangor komited untuk membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan bagi mengelakkan negeri ini dijadikan tempat pelupusan buangan negara asing. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619