AGENDA

MetMalaysia: Padang Serai diramal cerah, Tioman hujan pagi esok

6 Dis 2022, 5:41 AM
MetMalaysia: Padang Serai diramal cerah, Tioman hujan pagi esok

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kawasan pengundian di bahagian Parlimen Padang Serai, Kedah esok mengalami cuaca cerah pada pagi manakala di sebelah petang akan berlaku ribut petir atau hujan.

Di bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang pula, cuaca diramalkan hujan pada sebelah pagi manakala di sebelah petang dijangkakan cuaca dalam keadaan baik.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata para pengundi dinasihatkan sentiasa peka kepada keadaan sekeliling khususnya cuaca.

“Rancang perjalanan ke tempat mengundi dengan sebaiknya dengan merujuk kepada maklumat cuaca serta ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia di pelbagai medium penyebaran rasmi jabatan.

“Keluarlah untuk mengundi dengan lebih awal sekiranya cuaca dijangka baik pada awal pagi. Jangan bertangguh kerana cuaca di kawasan tropika boleh berubah dengan pantas iaitu ribut petir berserta hujan lebat boleh terbentuk dan berlaku dalam jangka masa yang singkat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muhammad Helmi turut memaklumkan supaya orang ramai mengelakkan diri berada di tempat lapang seperti padang dan berlindung segera di struktur kukuh (bangunan).

“Selain itu, elakkan guna telefon atau kelengkapan elektrik, jauhi rod pengalir elektrik seperti tiang elektrik dan tangga besi serta struktur tinggi seperti pokok atau yang tidak kukuh,” katanya.

Esok adalah hari mengundi di kawasan Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan proses pengundian dijadual tamat pada 6 petang.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619