AGENDA

PRU15: Pusat undi awal Parlimen Padang Serai ditutup 2 petang

3 Dis 2022, 8:28 AM
PRU15: Pusat undi awal Parlimen Padang Serai ditutup 2 petang

KULIM, 3 DIS: Pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulim bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai ditutup pada 2 petang tadi.

Proses pengundian awal yang bermula 8 pagi itu melibatkan 74 anggota dan pegawai polis yang menjalankan tanggungjawab mereka.

Menurut Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, jumlah pengundi di pusat mengundi awal itu sepatutnya membabitkan 76 pemilih, namun dua daripada mereka tidak hadir pada proses itu.

“Seorang anggota meninggal dunia manakala seorang lagi dibuang kerja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat mengundi awal di sini, hari ini.

Wan Hassan berkata proses pengundian awal di IPD Kulim berjalan lancar dengan 22 anggota ditugaskan untuk membuat kawal selia.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga telah menerima lima laporan sepanjang kempen berlangsung melibatkan siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan ketakutan atau kegusaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan termasuk melibatkan kenyataan seorang calon yang kita akan rujuk pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pagi tadi, seorang anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim Sarjan Noor Pazilah Abdul Rahman yang lengkap memakai uniform menjadi pengundi pertama melaksanakan tanggungjawab di situ.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan ke 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember berikutan kematian calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yang telah disahkan M Karupaiya.

Parlimen itu menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Dr Mohamad Sofee Razak (HARAPAN), Datuk Azman Nasrudi (Perikatan Nasional), Datuk C Sivaraj (Barisan Nasional), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon Bebas Sreanandha Rao.

Namun, calon BN dilaporkan telah memberi laluan kepada calon HARAPAN manakala calon Warisan telah menarik diri bagaimanapun nama mereka masih berada dalam kertas undi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619