AGENDA

EXCO: Pembangunan Selangor Selatan tidak libat kawasan hutan simpan

2 Dis 2022, 2:00 AM
EXCO: Pembangunan Selangor Selatan tidak libat kawasan hutan simpan

SHAH ALAM, 2 DIS: Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) tidak melibatkan kawasan hutan simpan atau kawasan perbandaran sedia ada.

EXCO Pelaburan Dato' Teng Chang Khim berkata kebanyakan cadangan pembangunan di daerah Sepang dan Kuala Langat melibatkan ladang kelapa sawit serta kawasan yang belum dibangunkan oleh pemilik tanah.

"IDRISS merupakan pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak swasta yang mempunyai keluasan tanah pembangunan yang besar di Sepang dan Kuala Langat.

"Antara tujuan pembangunan IDRISS adalah untuk membawa keseimbangan pembangunan ke daerah lain di Selangor. Kita tidak mahu kegiatan ekonomi hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja," katanya pada sesi penggulungan Belanjawan 2023 dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

Beliau berkata projek tersebut dijangka mengambil masa antara lima hingga 10 tahun bergantung kepada perancangan pembangunan.

Menurutnya IDRISS merangkumi projek pembangunan seperti sektor perindustrian, perkhidmatan logistik dan pergudangan, pelabuhan, perniagaan, perumahan, pelancongan dan pendidikan.

"Terdapat dua projek dalam proses untuk mengemukakan permohonan kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan iaitu projek NCT Smart Industrial Park di Kuala Langat dan Sepang Gold Coast Global Village di Bagan Lalang, Sepang.

"Selain itu, terdapat juga beberapa pemilik hartanah lain berminat untuk menyenaraikan cadangan projek pembangunan mereka dibawah IDRISS dan Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkannya," katanya.

IDRISS merupakan antara agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diumum Julai lalu bagi membangunkan Sepang dan Kuala Langat dengan peruntukan RM1 trilion.

Berikut cadangan projek IDRISS mengikut daerah:

  • Selangor Business Capital (Sepang)- 143.24 ekar
  • Sepang Gold Coast Global Village (Sepang)- 988 ekar
  • Unisel Global Campus (Sepang)
  • Selangor International Aero Park (Sepang)- 2,000 ekar
  • Guocoland Emerald Sepang (Sepang)- 2,373 ekar
  • New Era College University (Sepang)- 400 ekar
  • Putrajaya Holding (Sepang)- 1,678 ekar
  • NCT Smart Industrial & Business Park (Kuala Langat)- 732.5 ekar
  • Pelabuhan Pulau Carey  (Kuala Langat)- 32,000 ekar
  • Zon Ekonomi Khas Pulau Carey (Kuala Langat)

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619