AGENDA

Ringgit dibuka kukuh kepada 4.40 berbanding dolar AS

1 Dis 2022, 2:44 AM
Ringgit dibuka kukuh kepada 4.40 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini selepas mata wang Amerika Syarikat (AS) itu merosot berikutan sentimen bank pusat AS yang kurang menyokong kadar faedah tinggi, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.4040/4150 berbanding dolar AS daripada 4.4420/4500 semasa ditutup semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit naik mendadak, mengurangkan bukan sahaja risiko politik tetapi turut didorong oleh kenyataan daripada Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell mengenai langkah untuk memperlahankan kadar kenaikan kadar faedah mulai bulan ini.

Innes berkata jangkaan pelan China untuk pembukaan semula akan turut memberi rangsangan kepada imbangan perdagangan Malaysia, yang dijangka menyokong mata wang tempatan dalam tempoh terdekat.

“Oleh itu, dijangka lebih banyak langkah susulan berikutan pengeksport terus mengurangkan pegangan AS semasa,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata data pekerjaan daripada ADP Research Institute bagi November yang lebih rendah daripada jangkaan terus mempengaruhi dolar AS menjelang pengumuman laporan senarai gaji bukan ladang (NFP) AS.

“Daripada angka ADP (127,000 kedudukan ditambah berbanding unjuran 200,000), pasaran membayangkan bahawa data NFP yang akan dikeluarkan pada Jumaat juga dijangka berada di bawah anggaran, yang cenderung menjadi negatif kepada dolar AS,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2447/2533 daripada 3.2487/2551 pada Rabu, meningkat berbanding pound kepada 5.3275/3408 daripada 5.3366/3467 semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5960/6075 daripada 4.6010/6098 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2200/2285 daripada 3.2007/2067 semalam.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619