EXCO

EXCO: Selangor sedia 700 slot subsidi rawatan psikiatri

30 Nov 2022, 8:09 AM
EXCO: Selangor sedia 700 slot subsidi rawatan psikiatri

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan 700 slot subsidi rawatan pakar psikiatri kepada orang ramai yang mahu membuat saringan kesihatan mental.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata sebanyak RM222,600 diperuntuk dengan anggaran RM200 satu slot, terhad lima rawatan setiap pesakit.

"Inisiatif ini memberi alternatif yang lebih cepat kepada individu golongan berpendapatan rendah (B40).

"Kerajaan Negeri akan menanggung kos saringan, caj konsultasi pakar psikiatri, rawatan psikoterapi asas dan ubat-ubatan bagi dua minggu pertama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Insentif Subsidi Rawatan Psikiatri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini hari ini.

Siti Mariah berkata program itu turut mendapat kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM), pakar psikiatri daripada Persatuan Psikiatri Malaysia dan Klinik Selcare.

Menurutnya, individu yang ingin mendapatkan rawatan berkenaan perlu melengkapkan saringan awal menerusi aplikasi langkah masuk dengan selamat (SELangkah).

"Berdasarkan kelayakan ujian saringan awal, pemohon boleh menetapkan pilihan klinik Selcare di aplikasi itu bagi saringan kedua. Pemohon yang layak akan dirujuk kepada pakar psikiatri untuk rawatan lanjut.

"Kerajaan Negeri berharap insentif subsidi rawatan psikiatri ini dapat melengkapi usaha kerajaan persekutuan dalam menangani masalah kesihatan mental dan mengurangkan beban hospital kerajaan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619