AGENDA

PRU15: HARAPAN beri laluan calon BN di DUN Tioman

29 Nov 2022, 6:07 AM
PRU15: HARAPAN beri laluan calon BN di DUN Tioman

ROMPIN, 29 NOV: Amanah hari ini bersetuju calonnya yang mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Setiausaha Agung Amanah Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu sebagai tanda kesepakatan serta memperkukuh kerajaan perpaduan di peringkat negeri Pahang dan nasional.

"Amanah melihat keperluan untuk mewujudkan perpaduan erat komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN). Oleh demikian, Amanah yang juga sebahagian daripada parti komponen PH mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada calon BN," katanya.

Bagi memenangkan calon mewakili kerajaan perpaduan, jentera pilihan raya HARAPAN akan bergerak bersama dalam setiap kempen BN pada pilihan raya tersebut, katanya.

PRU15 DUN Tioman berlangsung pada 7 Disember selepas ditangguhkan berikutan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Dalam pilihan raya itu, Mohd Fadzli Mohd Ramly (HARAPAN) sepatutnya berhadapan saingan lima penjuru melibatkan calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Sebelum ini, Mohd Fadzli dilaporkan bersedia memberi laluan kepada calon BN jika diarahkan pucuk pimpinan parti susulan kerjasama antara BN dan HARAPAN membentuk kerajaan negeri Pahang, selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah selepas PRU15.

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semalam turut menyifatkan langkah memberi laluan itu sebagai perkembangan baik, namun mengakui sehingga kini tiada perbincangan rasmi diadakan bersama HARAPAN berhubung perkara tersebut. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619