AGENDA

Anwar hasrat kecil saiz kabinet, henti amalan lantikan menteri sebagai ganjaran

27 Nov 2022, 8:28 AM
Anwar hasrat kecil saiz kabinet, henti amalan lantikan menteri sebagai ganjaran

PUTRAJAYA, 27 NOV: Di samping mengecilkan saiz Kabinet, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau juga akan menghentikan amalan melampau yang menjadikan pelantikan ke jawatan menteri sebagai satu bentuk ganjaran.

“Saya mahu mereka (anggota Kabinet) menyokong saya berdasarkan dasar-dasar saya, dan komitmen saya terhadap tadbir urus yang baik, komitmen saya terhadap usaha anti-rasuah, dan memulihkan ekonomi… itu sebenarnya.

“Sudah tentu kita boleh pertimbangkan satu atau dua kes yang benar-benar diperlukan, tetapi ia tidak sepatutnya dilihat sebagai memberi ganjaran kepada pemimpin politik agar mereka menyokong anda,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 di sini.

Merujuk kepada tarikh pengumuman barisan Kabinet, beliau berkata ia akan dibuat dalam beberapa hari akan datang, kerana beliau sedang berbincang dengan parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

“Saya mengadakan perbincangan yang baik dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (Pengerusi Gabungan Parti Sarawak) semalam.

“.. kemudian saya perlu berbincang dengan wakil Barisan Nasional (BN), mereka ada jawatankuasa kerja yang akan memberi beberapa saranan,” katanya dan menambah beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619