AGENDA

Anwar mula tugas secara rasmi di Perdana Putra

25 Nov 2022, 3:01 AM
Anwar mula tugas secara rasmi di Perdana Putra

PUTRAJAYA, 25 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra di sini.

Ketibaan Anwar di blok utama Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri pada 9.55 pagi disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Anwar yang mengenakan baju Melayu lengkap bersamping kemudian mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Aras 5 bangunan berkenaan.

Ahli Parlimen Tambun itu kemudian mengaminkan doa yang dipimpin Pegawai Integriti Jabatan Perdana Menteri (JPM) Muhd Redza Ahmad sebelum menandatangani Buku Selamat Datang.

Terdahulu, Anwar sempat melambai tangan ke arah pengamal media yang 'berkampung' di luar pekarangan Perdana Putra menunggu ketibaan beliau untuk memasuki Pejabat Perdana Menteri.

Beliau turut beramah mesra dengan penjawat awam yang menunggu ketibaan beliau di lobi Perdana Putra.

Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Pada sidang media sulungnya sebagai perdana menteri, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619