AGENDA

Kerjasama pintar platform terbaik beri kesedaran kesihatan awam

25 Nov 2022, 1:46 AM
Kerjasama pintar platform terbaik beri kesedaran kesihatan awam

Oleh AZIAN AZIZ

PETALING JAYA, 25 NOV: Program Perkongsian Kesihatan Selangor (Selhep) 2023 merupakan platform terbaik dalam memberi kesedaran kesihatan awam kepada masyarakat.

Pensyarah Psikologi Universiti Tunku Abdul Rahman, Pheh Kai Shuen berkata program itu lebih berkesan kerana melibatkan Kerajaan Negeri, penyelidik, ahli akademik dan sektor swasta berkaitan kesihatan.

"Melalui platform ini, kita dapat bertukar pandangan mengenai kesihatan awam contohnya kesihatan mental. Mereka yang dipilih juga mendapat dana untuk membuat program yang lebih meluas dan berkesan dengan kerjasama Kerajaan Negeri,” katanya pada pelancaran Selhep semalam.

Kai Shuen merupakan salah seorang daripada 35 peserta yang akan membentangkan cadangan bertajuk 'Literasi Kesihatan Mental'.

Penolong Pengurus Bahagian Pendidikan Awam Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan, Malini Mahendran pula berkata pihaknya dapat menjalankan program penjagaan obesiti secara menyeluruh di Selangor melalui program tersebut.

"Berdasarkan saringan yang dibuat terhadap 488 orang di Selangor tahun ini, 82 peratus didapati mengalami obesiti namun masih bernasib baik kerana belum mendapat penyakit. Jadi mereka perlu mengikuti program penurunan berat badan sebelum dapat penyakit dan kita ada sediakan program itu.

"Dengan bantuan Selhep kita boleh melakukan lebih banyak lagi saringan dan membantu lebih banyak penghidap obesiti agar sihat dan dijauhi penyakit,” katanya yang akan membentangkan cadangan bertajuk 'Obesity Care'.

Manakala Profesor Biokimia Universiti Monash, Dr Umadevi Palanisamy berharap aplikasi untuk komuniti pekak yang dibangun pihaknya dapat digunakan dengan meluas di Selangor dengan bantuan Selhep.

"Di Selangor ada kira-kira 7,500 orang pekak berdaftar manakala di seluruh Malaysia ada 53,000. Antara masalah yang dihadapi komuniti ini masalah komunikasi terutama untuk mendapat bantuan perubatan.

"Selain itu kita juga mendapati mereka juga memerlukan bantuan dari aspek kesihatan mental. Jadi kita berharap dapat membantu mereka melalui aplikasi kita dan program yang akan dijalankan," katanya.

Program Selhep merupakan kerjasama pintar Kerajaan Negeri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, institusi penyelidikan dan sektor swasta.

Program ini menumpu lapan keutamaan kesihatan awam kritikal iaitu kesihatan mental, kanser serviks, penuaan secara sihat, penyakit tidak berjangkit, nutrisi awal kanak-kanak, literasi kesihatan, ketagihan dadah dan tuberkulosis (penyakit menular akibat infeksi terutama pada paru-paru).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619