AGENDA

Kes demam denggi turun 7.1 peratus minggu lalu kepada 1,593

24 Nov 2022, 5:24 AM
Kes demam denggi turun 7.1 peratus minggu lalu kepada 1,593

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-46 tahun ini (ME46/22) dari 13 hingga 19 November turun sebanyak 122 kes atau 7.1 peratus kepada 1,593 berbanding 1,715 pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu berkenaan.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 54,570 kes berbanding 23,057 kes bagi tempoh sama tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 31,513 kes (136.7 peratus)," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kumulatif kematian akibat komplikasi denggi pula sebanyak 37 kes berbanding 18 kematian bagi tempoh yang sama pada 2021.

Beliau berkata jumlah lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME46/22 juga turun kepada 61 berbanding 68 pada minggu sebelumnya.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, 32 lokaliti hotspot berada di Selangor, Sabah (19), Kuala Lumpur dan Putrajaya (lapan) dan masing-masing satu di Perak dan Sarawak.

Beliau berkata kejadian banjir kilat diselang-seli cuaca panas berisiko meningkatkan tempat pembiakan nyamuk Aedes terutama di kawasan dengan bekas terbiar.

"Selain itu, pergerakan manusia dari satu tempat ke tempat lain juga berisiko menyebarkan virus denggi daripada pembawa demam denggi tanpa gejala (asimptomatik) ke kawasan yang dilawati sehingga menyebabkan wabak di kawasan baharu," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat agar menjalankan aktiviti pembersihan seperti memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes, membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah, mengelakkan gigitan nyamuk dan menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik.

Mengenai survelan chikungunya, beliau berkata empat kes direkodkan pada ME46/22 dengan dua kes dari Pulau Pinang dan masing-masing satu kes dari Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Negeri Sembilan, sementara jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 692 kes.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619