AGENDA

PRU15: Calon bertanding Parlimen Padang Serai, DUN Tioman diketahui hari ini

24 Nov 2022, 1:21 AM
PRU15: Calon bertanding Parlimen Padang Serai, DUN Tioman diketahui hari ini

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan semula hari ini.

PRU15 di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding iaitu M Karupaiya daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN) untuk DUN Tioman.

Calon sah dinamakan bagi kedua-dua kerusi berkenaan pada 5 November lepas, dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon untuk tujuan cabutan undi dalam menentukan giliran pada kertas undi manakala calon baharu pula boleh menyerahkan kertas penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengikut tempoh ditetapkan.

Bakal calon bagi Parlimen Padang Serai boleh menyerahkan kertas penamaan calon dari 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah.

Bagi DUN Tioman adalah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding hingga 11.59 malam 6 Disember.

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 November lepas dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian, Sabtu lepas (19 November).

Karupaiya sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Datuk C Sivaraajh (BN-MIC), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU15 Sabtu lepas.

PRU15 bagi DUN Tioman pula sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (HARAPAN-Amanah) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-UMNO).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619