AGENDA

Tiga negeri terkesan banjir, 952 mangsa di pusat pemindahan

23 Nov 2022, 12:57 PM
Tiga negeri terkesan banjir, 952 mangsa di pusat pemindahan

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Tujuh daerah di tiga negeri masih terkesan banjir dengan 952 mangsa berada di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui kenyataan memaklumkan kejadian banjir itu melibatkan empat daerah di Perak, dua di Selangor dan satu di Johor.

“Jumlah ini menunjukkan pengurangan berbanding laporan jam 8 pagi tadi dengan terdapat 1,156 mangsa sedang berlindung di PPS seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

NADMA melaporkan satu PPS ditutup hari ini iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu, Kerian, Perak.

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan enam sungai berada ditahap amaran iaitu Long Teru, Miri, Sarawak; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang dan Sungai Triang di Bera, Pahang; Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, Johor serta Sungai Kerian di Rumah Pam Bandar Baharu, Bandar Baharu dan Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan, Kedah.

Dalam pada itu, NADMA memaklumkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara mengeluarkan notis kesiapsiagaan banjir kilat di Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak pada jam 4 petang tadi.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya pada jam 2 petang tadi pula melaporkan terdapat dua lokasi terkesan banjir, tujuh lokasi cerun runtuh serta masing-masing dua lokasi jalan mendap dan jambatan rosak/runtuh.

Kejadian-kejadian ini berlaku di empat daerah di Kedah, masing-masing dua daerah di Johor dan Negeri Sembilan serta masing-masing satu daerah di Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619