ADN

Waspada air pasang besar di Kuala Selangor Khamis, Jumaat

22 Nov 2022, 4:35 AM
Waspada air pasang besar di Kuala Selangor Khamis, Jumaat

SHAH ALAM, 22 NOV: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir dibuka di Kuala Selangor iaitu di Dewan MPKS Bandar Baru hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata setakat ini empat PPS sudah dibuka di daerah itu yang menempatkan 167 mangsa banjir membabitkan 51 keluarga.

"Sebuah lagi PPS dibuka iaitu di Dewan MPKS Bandar Baru menempatkan sembilan keluarga mangsa banjir dari Kampung Tanjung Siam selain PPS Sekolah Kebangsaan Bandar Baru yang dibuka 3 hari lalu melibatkan 30 keluarga dari Kampung Asahan.

"Hujan berterusan dan air pasang besar bertembung menyebabkan limpahan air Sungai Selangor ke kawasan perkampungan," katanya di Twitter hari ini.

Menurutnya, tiga pam air telah ditempatkan di Kampung Asahan bagi mengepam air keluar dari kawasan rendah dan 'air termenung'.

Sementara itu ketika dihubungi beliau berkata air sungai dijangka naik setinggi 5.3 meter pada Khamis dan Jumaat ini berikutan fenomena air pasang besar.

Sehubungan itu beliau meminta penduduk lebih berhati-hati selain bersedia untuk berpindah apabila diperlukan.

"Hujan diramal berterusan sehingga Sabtu ini dan air Sungai Selangor dijangka melimpah dan masuk ke kampung berikutan fenomena air pasang besar.

"Bomba, unit bencana sudah bersedia di lokasi dan saya minta ketua kampung memaklumkan penduduk sehingga Sabtu ini bersedia untuk pemindahan demi keselamatan mereka," katanya yang turut meninjau lokasi hari ini.

Empat PPS yang dibuka ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, SK Bandar Baru, balai raya Kampung Blok A Sawah Sempadan dan Dewan MPKS Bandar Baru.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619