AGENDA

Ketua Penerangan Umno letak jawatan, gesa Zahid berundur secara terhormat

20 Nov 2022, 6:53 AM
Ketua Penerangan Umno letak jawatan, gesa Zahid berundur secara terhormat

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 20 NOV: Ketua Penerangan Umno hari ini melepaskan jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-15.

Shahril Hamdan turut menggesa Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab sama dengan berundur secara terhormat.

"Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) iaitu tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu.

"Pemimpin nombor satu Presiden Umno dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini, berundur secara terhormat.

"Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini," katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Onn Hafiz yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor turut mengesa Ahmad Zahid meletak jawatan presiden Umno demi kepentingan dan masa depan parti, lapor Bernama.

Gesaan sama turut dilaungkan Timbalan Pengerusi BN Kulai, Mohd Jafni Md Shukor dan Ketua Pemuda UMNO Pagoh, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, lapor Berita Harian.

Pada PRU15 semalam, BN hanya mampu berpuas hati dengan 30 kerusi sekali gus menjadikan pencapaian terburuk dalam sejarah politik mereka.

Saingan kali ini turut mengorbankan beberapa 'nama besar' antaranya veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang, Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid (Padang Terap) dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (Sungai Buloh).

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619