AGAMA

KPN: Tiga pengundi meninggal dunia ketika tunggu giliran

19 Nov 2022, 9:56 AM
KPN: Tiga pengundi meninggal dunia ketika tunggu giliran

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiga pengundi meninggal dunia ketika menunggu giliran untuk mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata dua kematian berlaku di Johor manakala satu di Kelantan.

“Tiga kejadian yang agak mendukacitakan yang mana pengundi ini ada masalah kesihatan dan meninggal dunia masa beratur untuk mengundi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Acryl Sani berkata semasa proses pengundian hari ini, terdapat satu insiden terpencil melibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun, yang juga pesakit mental, bertindak di luar kawalan dengan merampas sebotol dakwat dan menolak jatuh peti undi di Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Lama, Batang Kali, Selangor.

Mengenai kejadian di Johor, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri dalam kenyataan menjelaskan kedua-duanya adalah warga emas berusia 85 tahun yang meninggal dunia, masing-masing di pusat mengundi Parlimen Sembrong dan Parlimen Pulai, pagi tadi.

Menurut SPR, Sh Juhara Syed Mohamad meninggal dunia pada 9.30 pagi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor Bahru.

"(Pengundi) didapati mengalami kematian mengejut selepas mengundi dan mengalami sesak nafas.

"Pengundi tersebut didapati hadir ke saluran dalam keadaan tidak sihat hasil pemerhatian petugas saluran tetapi ingin meneruskan pengundian," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Tuminah Ambiah pula meninggal dunia secara mengejut pada 10.21 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lit Terk, Kluang.

“Warga emas itu meninggal dunia secara mengejut sebelum mengundi dan kematiannya disahkan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan yang berada di tempat kejadian,” menurut SPR Johor.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619