AGENDA

Calon HARAPAN Sepang mahu laksana pelan kurangkan banjir

18 Nov 2022, 12:00 PM
Calon HARAPAN Sepang mahu laksana pelan kurangkan banjir

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SEPANG, 18 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Sepang tekad melaksanakan pelan mitigasi banjir di Parlimen itu sekiranya diberi mandat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Aiman Athirah Sabu berkata Kampung Seri Tanjung dan Kampung Cemperai, Dengkil yang terjejas bah memerlukan pelan penyelesaian jangka panjang berdasar kunjungannya ke daerah itu semalam.

“Saya berasa dukacita melihat kediaman beratus keluarga ditenggelami air dan mendengar luahan mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Taman Gemilang dan Dewan Komuniti Dengkil mengeluh kerana isu sama berulang seolah tiada penyelesaian,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau juga komited untuk memastikan kerja pembaikan tembok penahan banjir Sungai Langat yang diluluskan Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM19.1 juta tidak tertangguh.

"Keluasan banjaran baharu Sungai Langat perlu dipanjangkan kepada 4.6 meter daripada 1.5 meter ketika ini, khususnya di sepanjang Jalan KB1 berhampiran kawasan perumahan Taman Permata dan Taman Baiduri, Dengkil.

"Longkang juga mesti sentiasa dibersihkan khususnya pada musim hujan agar tidak tersumbat dengan rumpai, kotoran atau sampah sarap," katanya.

Semalam, beberapa kawasan di daerah itu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak malam kelmarin sehingga ban Sungai Langat pecah menyebabkan air melimpah ke kawasan penduduk.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619