AGENDA

Pengundi positif Covid-19 wajib pakai pelitup muka, dilarang naik kenderaan awam

14 Nov 2022, 6:40 AM
Pengundi positif Covid-19 wajib pakai pelitup muka, dilarang naik kenderaan awam

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Individu positif Covid-19 yang akan mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) wajib memakai pelitup muka, manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengundi positif Covid-19 juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing.

"(Pengundi positif Covid-19 tidak dibenarkan) singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi, dan perlu pulang segera selepas selesai mengundi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan selamat terutamanya bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, Dr Noor Hisham berkata pengundi positif Covid-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat, manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan.

Katanya pengundi juga perlu menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan di tempat mengundi, selain disyorkan membawa pensanitasi tangan sendiri.

Dr Noor Hisham berkata individu yang belum menerima dos penggalak vaksin Covid-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang sekeliling.

"Marilah kita bersama-sama mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kepada pengundi dan petugas di pusat mengundi sepanjang PRU15," katanya.

Dr Noor Hisham turut berkongsi infografik mengenai nasihat am kepada pengundi PRU15 bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 di laman Facebooknya semalam.

Beliau berkata petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat pengundian bagi membantu melicinkan urusan pengundi positif Covid-19 dan menasihatkan mereka untuk mematuhi nasihat petugas kesihatan berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari mengundi awal manakala 19 Nov bagi hari pengundian PRU15.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619