SELANGOR

Maqis Selangor patah cubaan seludup 40kg sarang burung ke Vietnam

14 Nov 2022, 5:20 AM
Maqis Selangor patah cubaan seludup 40kg sarang burung ke Vietnam

SEPANG, 14 NOV: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 40 kilogram (kg) sarang burung bernilai RM240,000 yang cuba dieksport ke Vietnam, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Sabtu lepas.

Pengarah Maqis Selangor Mohd Sobri Md Hashim berkata cubaan membawa keluar sarang burung oleh wanita warga Vietnam berusia 25 tahun di pintu masuk klia2 itu digagalkan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).

Beliau berkata sarang burung yang diletakkan dalam dua bagasi berasingan itu dikesan oleh mesin pengimbas Kastam dan ia percayai cuba dibawa keluar ke Vietnam bagi tujuan perniagaan.

“Sarang burung tersebut disita oleh Maqis kerana tidak mempunyai permit eksport serta sijil kesihatan veterinar yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sobri berkata perbuatan mengeksport hasilan haiwan tanpa permit yang sah dari Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619