AGENDA

Masih ada pengundi pos luar negara belum terima kertas undi

13 Nov 2022, 12:41 PM
Masih ada pengundi pos luar negara belum terima kertas undi

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal berlangsung Sabtu ini, namun ada pengundi pos terutamanya pengundi luar negara masih belum menerima kertas undi mereka.

Malah ada antara mereka memaklumkan hanya akan menerima kertas undi pos pada Sabtu ini (hari pengundian).

Tinjauan di laman sosial Twitter turut mendapati ada pengundi yang hampir seminggu mendaftar untuk mengundi secara pos, namun kecewa kerana sehingga ke hari ini, kertas undi tersebut masih belum sampai ke tangan mereka.

Seorang pemilik akaun Twitter S Prem Kumar berkata beliau tidak menerima sebarang maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung status undi posnya.

‘’Saya belajar di India dan telah pun mendaftar untuk undi pos namun sehingga sekarang masih belum menerima kertas undi.

‘’… dan sehingga hari ini saya tidak menerima sebarang mesej atau pengemaskinian daripada SPR,” katanya yang merupakan pengundi bagi Parlimen Port Dickson.

Perkara sama turut diluahkan seorang lagi pengguna Twitter Aira Nur Ariana yang menetap di New York, Amerika Syarikat, apabila beliau sendiri tidak pasti bila kertas undi posnya akan diterima.

Beliau berkata kelewatan penerimaan kertas undi pos itu tidak seharusnya berlaku susulan itu bukan kali pertama SPR mengendalikan pilihan raya yang turut membabitkan undi luar negara.

Dalam pada itu, Saifuddin Amri perunding Sekuriti Siber di Arab Saudi, memaklumkan telah menerima notifikasi daripada syarikat kurier bahawa kertas undi posnya hanya akan diterima selewatnya pada 8 malam (waktu Arab Saudi) 19 Nov (Sabtu ini).

‘’Orang dah habis pilihan raya, aku baru nak dapat kertas undi pos… jenaka apakah ini SPR. Cadangan saya kepada SPR untuk menyelesaikan isu pengundi pos luar negara - daripada menggunakan undi pos, benarkan kami mengundi di kedutaan atau konsulat Malaysia, ia lebih mudah bukan?” katanya menerusi komen di laman sosial itu.

Sementara itu, usaha Bernama untuk mendapatkan penjelasan SPR mengenai isu itu tidak berhasil apabila pihak suruhanjaya berkenaan tidak memberi sebarang maklum balas setakat ini. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619