AGENDA

Calon MUDA tidak gentar tempur kubu kuat BN di Tanjong Karang

8 Nov 2022, 5:36 AM
Calon MUDA tidak gentar tempur kubu kuat BN di Tanjong Karang

TANJONG KARANG, 8 NOV: Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA ) bagi Parlimen Tanjong Karang, Siti Rahayu Baharin tidak gentar bertanding di kubu kuat Barisan Nasional (BN) malah optimis kemenangan akan berpihak kepadanya 19 November nanti.

Siti Rahayu atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Rahayu mengakui bukan senang untuk Muda menawan Tanjong Karang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagaimanapun ia boleh dilakukan dengan kempen secara beradab dan bersungguh-sungguh.

"BN mempunyai pengikut yang percaya kepada mereka, kepercayaan ini bukan sesuatu yang mudah untuk dibolak-balik, tetapi saya percaya dengan adab dan kesungguhan serta nilai yang saya hendak bawa ke Tanjong Karang ia boleh dilakukan.

"Saya mahu pengundi di sini menilai saya dan memilih saya dengan apa yang saya hendak bawa ke Tanjong Karang," katanya kepada pemberita selepas majlis Jelajah Mega Muda di sini malam tadi.

Mengulas mengenai isu bukan calon tempatan, Siti Rahayu berkata ia bukan penghalang untuknya memberikan khidmat cemerlang sekiranya mendapat mandat kelak malah ramai ahli Parlimen yang bukan penduduk tempatan mampu memberikan khidmat terbaik di kawasan diwakili.

Siti Rahayu berdepan dengan saingan lima penjuru melibatkan Azlan Sani Zawawi (Pejuang-Gagasan Bangsa), Kapt (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN), Datuk Habibah Mohd Yusof (BN) dan calon bebas Mohd Rosni Mastol.

Parlimen Tanjong Karang sebelum ini disandang Tan Sri Noh Omar selama enam penggal iaitu sejak 1995.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619