AGENDA

Cuepacs cadang cuti umum khas 18 November mudahkan rakyat balik undi

7 Nov 2022, 5:57 AM
Cuepacs cadang cuti umum khas 18 November mudahkan rakyat balik undi

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan mengisytiharkan 18 November ini sebagai cuti umum khas untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata walaupun tarikh mengundi jatuh pada Sabtu, cuti umum tambahan sehari lebih awal itu wajar diberikan memandangkan ramai rakyat Malaysia tidak mengundi di lokasi mereka bekerja.

"Ada dalam kalangan mereka yang perlu melakukan perjalanan lebih daripada empat jam bagi menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

"Begitu juga dengan penduduk Labuan, Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung, jadual penerbangan terhad mungkin menyukarkan mereka pulang pada hari mengundi apatah lagi mereka yang tinggal di pedalaman memerlukan perjalanan tambahan serta memakan masa panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata walaupun setiap pekerja layak mengambil cuti tahunan, Cuepacs bimbang ada majikan tidak membenarkan mereka memohon cuti awal untuk pulang ke lokasi mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 November ini dan pengundian awal pada 15 November ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619