AGENDA

Kerjasama MUDA perkukuh HARAPAN, raih sokongan anak muda

3 Nov 2022, 2:11 AM
Kerjasama MUDA perkukuh HARAPAN, raih sokongan anak muda
Kerjasama MUDA perkukuh HARAPAN, raih sokongan anak muda

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerjasama Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mampu memperkukuh Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya mengalu-alukan kesepakatan parti itu terutama dalam meraih sokongan dan undi anak muda negeri ini.

“MUDA jadi sebahagian daripada pengukuh kita di Selangor (selain) menambah nilai dan memberikan impak kepada sokongan belia serta generasi muda di Selangor.

“Dengan pencapaian dan rekod kita di Selangor, saya percaya ia akan memberi kelebihan kepada HARAPAN untuk memenangi kerusi di samping usaha kita merampas kerusi yang telah dimenangi BN (Barisan Nasional) dalam PRU lalu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pengenalan 22 calon Parlimen HARAPAN Selangor di Dewan Raja Muda Musa di sini malam tadi.

MUDA akan bertanding di tiga kerusi Parlimen membabitkan Selangor, Pulau Pinang dan Johor pada PRU kali ini.

Tiga calon itu adalah Siti Rahayu Baharin yang akan bertanding di Parlimen Tanjong Karang, Daniel Abdul Majid (Kepala Batas) dan Lim Wei Jiet (Tanjung Piai).

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya MUDA Amira Aisya Abd Aziz mengumumkan parti itu juga akan menggunakan logo sendiri serta berkongsi manifesto dengan HARAPAN.

[caption id="attachment_547365" align="aligncenter" width="500"] Penyokong HARAPAN Selangor melaungkan slogan 'Kita Boleh' ketika Majlis Pengenalan Calon Parlimen HARAPAN Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 2 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619