AGENDA

Sistem urusan pejabat tanah dalam talian dilancar, tingkat kutipan hasil negeri

28 Okt 2022, 8:57 AM
Sistem urusan pejabat tanah dalam talian dilancar, tingkat kutipan hasil negeri

KLANG, 28 OKT: Sistem Smartbox iaitu kemudahan urusan dalam talian di pejabat daerah dan tanah (PDT) seluruh negeri akan dilaksanakan mulai 1 November ini.

Dato' Menteri Besar berkata program pendigitalan tersebut memudahkan permohonan, semakan serta bayaran urusan tanah selain meningkatkan kecekapan kutipan hasil negeri.

"Pada awalnya sistem ini diperkenalkan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19.

"Pandemik bukan sahaja menjejaskan pergerakan manusia tetapi turut beri kesan kepada kegiatan ekonomi berkaitan hasil negeri. Tanah merupakan hasil negeri dan boleh menjejaskan kutipan hasil jika urusannya tersekat.

"Apabila diisytihar PKP, semua operasi terhenti termasuk urusan kaunter pejabat tanah. Tetapi kita tidak menunggu lama dan dalam tempoh tiga hingga empat bulan perkenal Smartbox serta mencatat lebih 12,000 transaksi," kata Dato' Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap ketika melancarkan sistem Smartbox yang dibangunkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) di Pejabat Daerah dan Tanah Klang di sini, hari ini.

Beliau berkata kejayaan sistem tersebut diterjemah menerusi kutipan hasil berjumlah RM53 juta pada tahun ini berbanding RM33.9 juta (2021) dan RM28.9 juta (2020) melalui sistem bayaran di kaunter.

"Sistem Smartbox bukan sahaja menambah hasil negeri dengan lebih cekap tetapi juga mampu memperkemas data.

"Menerusi sistem ini, lebih banyak dokumen diuruskan dan transaksi dapat diselesaikan sekaligus ke arah negeri pintar menjelang 2025," katanya.

Orang ramai boleh melaksanakan urusan secara dalam talian menerusi https://smartbox.selangor.gov.my.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619