AGENDA

MB jawab PM: Selangor tidak halang karnival, tohmahan tidak berasas

20 Okt 2022, 12:00 PM
MB jawab PM: Selangor tidak halang karnival, tohmahan tidak berasas
MB jawab PM: Selangor tidak halang karnival, tohmahan tidak berasas

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang karnival anjuran kementerian tetapi sebaliknya tiada permohonan bertulis menggunakan kemudahan tersebut, jelas Dato' Menteri Besar.

"Tidak ada permohonan rasmi dibuat untuk penggunaan fasiliti terbabit, hanya panggilan telefon dibuat Jumaat lalu dan telah diingatkan perlu permohonan rasmi," kata Dato' Seri Amirudin Shari di Twitter hari ini.

Beliau mengulas tohmahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilaporkan berkata Selangor cuba menghalang kerajaan pusat mengadakan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Kuala Selangor.

"Tohmahan menghalang adalah tidak berasas dan menipu. (Dakwaan) ini adalah resam pimpinan Umno dan Barisan Nasional yang tidak pernah berubah melakukan politik adu domba dan memecah belah," jelas Amirudin lagi.

Tambahnya, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) segera meluluskan permit karnival di lokasi lain setelah menerima surat rasmi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 17 Oktober.

"MPKS meluluskan permit serta pembersihan kawasan sebagai mana permohonan kementerian. MPKS juga menghantar penguat kuasa bagi mengawal kelicinan program," katanya.

Amirudin turut melampirkan surat kelulusan MPKS bertarikh 18 Oktober bagi permohonan menganjurkan karnival tersebut di Dataran Eco Granduer, Bandar Puncak Alam.

"Tuduhan agensi (MPKS) bertindak dengan niat politik adalah penghinaan kepada penjawat awam Selangor yang selalu berkhidmat dengan profesional dan objektif," katanya di media sosial itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619